02 January 2010

Isu Agama sepanjang 2009 - Hikmah di sebaliknya

Pelbagai peristiwa dan kontroversi mewarnai hari-hari sepanjang 2009 termasuk membabitkan undang-undang Islam, ajaran sesat dan tauliah mengajar agama.

Namun, sesuatu yang pasti, setiap yang berlaku itu mempunyai hikmah dan pengajaran yang patut direnung umat Islam untuk menghadapi tahun baru 2010.

Peristiwa model sambilan dari Sungai Siput, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang dijatuhkan hukuman sebat serta denda RM5,000 mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan kerana mengambil minuman keras nyata memberi impak besar.

Kartika mengaku bersalah meminum arak di sebuah kelab malam hotel di Cherating pada jam 11.40 malam Julai tahun lalu.

indakan Kartika secara rela hati mahu hukuman sebat itu dipercepatkan menjadi isu nasional.

Ramai mendakwa hukuman yang dikenakan terhadap Kartika terlalu 'keras' apalagi memikirkan dia seorang wanita, malah ramai lagi yang mengambil minuman keras tidak dikenakan hukuman seberat itu.

Pertubuhan berkaitan wanita dan bukan kerajaan mempertikaikan hukuman itu kononnya menganiaya golongan wanita dan hak asasi manusia.

Namun, mereka tidak sedar arak adalah haram di sisi Islam dan hukuman denda dan sebat itu perlu bagi memberi peringatan kepada orang lain tidak melakukan perbuatan sama.

Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan berhubung tarikh menjalani hukuman ketika itu seharusnya di hormati dan tiada siapa berhak mempersoalkannya.

Kisah yang berlaku ke atas ibu dua anak itu seharusnya menjadi pedoman buat. Apakah hikmah di sebaliknya?

Sifat rela hati yang dipamerkan bekas model itu di atas kesalahan yang dilakukan wajar dicontohi, tetapi pada masa sama orang ramai juga perlu bijak mengadili keputusan mahkamah apatah lagi ia membabitkan agama.

Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan itu juga membuka mata banyak pihak bahawa Islam serius mencegah kemungkaran.

Sebenarnya, ramai tidak faham kaedah merotan yang dilakukan terhadap pesalah wanita yang mengambil minuman keras.

Ia bukan seperti hukuman sebat yang dijatuhkan terhadap pesalah jenayah berat seperti rogol, meliwat atau pengedar dadah yang sememangnya menyakitkan kerana sebatan itu meninggalkan parut kekal.

Ternyata Islam mempunyai kaedah yang sistematik untuk mendidik umatnya. Ia sedikit sebanyak membuka mata masyarakat bukan Islam untuk mengkaji mengenai Islam.

Peristiwa penangkapan individu yang menggelar dirinya 'Rasul Melayu' turut mencuri tumpuan masyarakat mengenai bahaya ajaran sesat.

Abdul Kahar Ahmad Jalal, 59, yang memang menjadi buruan pihak berkuasa agama dikatakan menyebar ajaran sesat dan mengaku dirinya, Rasul Melayu.

Dia pernah ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 23 Jun 2005, dalam Ops Rasul di rumahnya di Kampung Kemensah, Hulu Klang.

Lelaki berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 27 Julai 2005 atas lima tuduhan menyebar ajaran sesat.

Namun, lelaki itu terus berdegil dan terus dengan tindakan memesongkan akidah umat Islam di negara ini dengan ajaran sesatnya.

Dia sentiasa ingkar hadir dalam perbicaraan dan menghilangkan diri sehingga menjadi penjenayah syariah yang amat dikehendaki di Selangor.

Akhirnya, Abdul Kahar ditahan tiga hari sebelum Aidilfitri. Lebih memalukan ketika ditahan kira-kira jam 9.45 pagi di Bandar Sungai Long, Kajang, dia sedang menikmati sarapan di bulan Ramadan.

Dia hanya berpendidikan darjah lima dan mempelajari ilmu agama daripada ayahnya.

Ini menimbulkan persoalan, bagaimana umat Islam terlalu mudah percaya dan terpedaya dengan ajaran sedemikian padahal mereka sepatutnya meneliti dahulu.

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara, denda RM16,500 dan enam sebatan ke atasnya.

Mahkamah juga turut memerintahkan dia dihantar menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam Baharu, Gombak, enam bulan terakhir selepas pelaksanaan hukuman penjara.

Allah s.w.t lebih mengetahui segala-galanya. Yang salah tetap terbukti salah. Peristiwa itu menyebabkan kesucian serta kemuliaan Islam tercalar akibat perbuatan mereka yang sanggup menggadai pegangan akidah.

Hakikatnya, ajaran yang dibawa individu tidak bertanggungjawab itu bertentangan dengan akidah Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam ) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam ) yang mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah dengan demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya bertakwa." (Surah al-An'am ayat 153) Selain Ajaran Kahar Ahmad, sebanyak 22 ajaran lain dikenal pasti pernah bergiat aktif di Selangor dan sudah diwartakan sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ajaran berkenaan adalah Tarikat Naksabandiah Kadirun Yahya, Ajaran Nordin Puteh, Tarikat Mufarduyah, Ajaran Haji Ghazali Othman, Ajaran Ilmu Hakikat Jahar Dumin, Ajaran Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana, Tarikat Zikrullah Hassan Anak Rimau, Ajaran Martabat Tujuh Hamzah Embi, Antihadis, Aurad Islamiah, Al-Arqam, Ajaran Syed Mohamad al-Mansor, Ajaran Sulaiman (Bahtera Nabi Noh), Ilmu Hakikat Hassan Jonit, Ajaran Qadiani/Ahmadiah, Ajaran Islam Lamaah, Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol, Ajaran Haji Banuar Roslan, Ajaran Zamree Ab Wabah (Ketupat Linux) dan Tarikat Al-Hasaniah.

Tahun 2009 juga akan tetap diingati umat Islam apabila bekas mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin ditahan penguat kuasa Jais kerana menyampaikan dakwah dan mengajar agama tanpa tauliah pada malam 1 November lalu di rumah seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Ampang. Bagaimanapun, Mohd Asri mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Kerana kesarjanaan yang dimilikinya membuatkan ramai mengatakan tokoh sepertinya sepatutnya tidak diperlakukan sedemikian sebaliknya diberi pengiktirafan.

Beliau adalah individu berpengaruh dalam masyarakat serta menjadi tokoh agama yang lantang mengeluarkan pandangan menarik dalam isu agama dan hingga membawa kepada perdebatan.

Dr Asri didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Penangkapan Dr Asri memberi impak pro dan kontra. Yang nyata, imej Islam tercalar terutama di kalangan bukan Islam melihat seorang tokoh yang dilabel mempunyai karisma ditahan pihak berkuasa agama.

Namun, ia turut mempunyai pelbagai pandangan lain yang mengheret kepada soal fahaman yang dikatakan terlalu mudah sehingga mencabar mazhab lain.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim),

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin mengemukakan notis saman balas RM100 juta selepas dikatakan menerima notis saman RM10 juta daripada Dr Asri.

Melalui saman balas itu, Zamihan turut meminta penjelasan kenapa beliau didakwa berfahaman Syiah serta mengkafirkan ulama Arab Saudi dan penduduk Makkah sebelum ini.

Zamihan sebelum ini dikatakan menerima notis saman daripada Dr Asri berikutan kenyataan dibuatnya dalam

laporan sebuah akhbar arus perdana bulan lalu bertajuk Jakim: Asri Palsukan Kelulusan Syariah.

Melalui notis saman dikemukakan itu, beliau dituntut supaya menarik balik tuduhan terhadap Dr Asri dan memohon maaf atas kenyataan dalam laporan akhbar terbabit, yang mengaitkan Dr Asri dengan pemalsuan kelayakan di bidang syariah dari Universiti Jordan dan banyak menggunakan metodologi fahaman Wahabi iaitu sayap dalam Islam yang memahami ajaran agama secara ekstrem.

Polimek yang membabitkan golongan alim ulama ini patut dihentikan kerana Islam menyediakan saluran musyawarah untuk membincangkan pandangan berbeza, bukannya melalui mahkamah.

Apa pun, kita mengharapkan kehadiran 2010 memberi sinar kepada perkembangan Islam di negara ini dan tiada cerita baru yang kurang enak kerana ia akan mencalar imej Islam.

-HARIAN METRO

0 komen:

Islam Agamaku

INFO TERKINI

1Malaysia Onlive Tv

Download Lagu MP3

Download Lagu² Pilihan Anda Disini
Powered By 4shread | Serdahana Itu Indah

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites