This is default featured post 1 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 2 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 3 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 4 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

This is default featured post 5 title

Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.

Showing posts with label BERITA. Show all posts
Showing posts with label BERITA. Show all posts

02 January 2010

Isu Agama sepanjang 2009 - Hikmah di sebaliknya

Pelbagai peristiwa dan kontroversi mewarnai hari-hari sepanjang 2009 termasuk membabitkan undang-undang Islam, ajaran sesat dan tauliah mengajar agama.

Namun, sesuatu yang pasti, setiap yang berlaku itu mempunyai hikmah dan pengajaran yang patut direnung umat Islam untuk menghadapi tahun baru 2010.

Peristiwa model sambilan dari Sungai Siput, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang dijatuhkan hukuman sebat serta denda RM5,000 mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan kerana mengambil minuman keras nyata memberi impak besar.

Kartika mengaku bersalah meminum arak di sebuah kelab malam hotel di Cherating pada jam 11.40 malam Julai tahun lalu.

indakan Kartika secara rela hati mahu hukuman sebat itu dipercepatkan menjadi isu nasional.

Ramai mendakwa hukuman yang dikenakan terhadap Kartika terlalu 'keras' apalagi memikirkan dia seorang wanita, malah ramai lagi yang mengambil minuman keras tidak dikenakan hukuman seberat itu.

Pertubuhan berkaitan wanita dan bukan kerajaan mempertikaikan hukuman itu kononnya menganiaya golongan wanita dan hak asasi manusia.

Namun, mereka tidak sedar arak adalah haram di sisi Islam dan hukuman denda dan sebat itu perlu bagi memberi peringatan kepada orang lain tidak melakukan perbuatan sama.

Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan berhubung tarikh menjalani hukuman ketika itu seharusnya di hormati dan tiada siapa berhak mempersoalkannya.

Kisah yang berlaku ke atas ibu dua anak itu seharusnya menjadi pedoman buat. Apakah hikmah di sebaliknya?

Sifat rela hati yang dipamerkan bekas model itu di atas kesalahan yang dilakukan wajar dicontohi, tetapi pada masa sama orang ramai juga perlu bijak mengadili keputusan mahkamah apatah lagi ia membabitkan agama.

Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan itu juga membuka mata banyak pihak bahawa Islam serius mencegah kemungkaran.

Sebenarnya, ramai tidak faham kaedah merotan yang dilakukan terhadap pesalah wanita yang mengambil minuman keras.

Ia bukan seperti hukuman sebat yang dijatuhkan terhadap pesalah jenayah berat seperti rogol, meliwat atau pengedar dadah yang sememangnya menyakitkan kerana sebatan itu meninggalkan parut kekal.

Ternyata Islam mempunyai kaedah yang sistematik untuk mendidik umatnya. Ia sedikit sebanyak membuka mata masyarakat bukan Islam untuk mengkaji mengenai Islam.

Peristiwa penangkapan individu yang menggelar dirinya 'Rasul Melayu' turut mencuri tumpuan masyarakat mengenai bahaya ajaran sesat.

Abdul Kahar Ahmad Jalal, 59, yang memang menjadi buruan pihak berkuasa agama dikatakan menyebar ajaran sesat dan mengaku dirinya, Rasul Melayu.

Dia pernah ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 23 Jun 2005, dalam Ops Rasul di rumahnya di Kampung Kemensah, Hulu Klang.

Lelaki berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 27 Julai 2005 atas lima tuduhan menyebar ajaran sesat.

Namun, lelaki itu terus berdegil dan terus dengan tindakan memesongkan akidah umat Islam di negara ini dengan ajaran sesatnya.

Dia sentiasa ingkar hadir dalam perbicaraan dan menghilangkan diri sehingga menjadi penjenayah syariah yang amat dikehendaki di Selangor.

Akhirnya, Abdul Kahar ditahan tiga hari sebelum Aidilfitri. Lebih memalukan ketika ditahan kira-kira jam 9.45 pagi di Bandar Sungai Long, Kajang, dia sedang menikmati sarapan di bulan Ramadan.

Dia hanya berpendidikan darjah lima dan mempelajari ilmu agama daripada ayahnya.

Ini menimbulkan persoalan, bagaimana umat Islam terlalu mudah percaya dan terpedaya dengan ajaran sedemikian padahal mereka sepatutnya meneliti dahulu.

Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara, denda RM16,500 dan enam sebatan ke atasnya.

Mahkamah juga turut memerintahkan dia dihantar menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam Baharu, Gombak, enam bulan terakhir selepas pelaksanaan hukuman penjara.

Allah s.w.t lebih mengetahui segala-galanya. Yang salah tetap terbukti salah. Peristiwa itu menyebabkan kesucian serta kemuliaan Islam tercalar akibat perbuatan mereka yang sanggup menggadai pegangan akidah.

Hakikatnya, ajaran yang dibawa individu tidak bertanggungjawab itu bertentangan dengan akidah Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam ) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam ) yang mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah dengan demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya bertakwa." (Surah al-An'am ayat 153) Selain Ajaran Kahar Ahmad, sebanyak 22 ajaran lain dikenal pasti pernah bergiat aktif di Selangor dan sudah diwartakan sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ajaran berkenaan adalah Tarikat Naksabandiah Kadirun Yahya, Ajaran Nordin Puteh, Tarikat Mufarduyah, Ajaran Haji Ghazali Othman, Ajaran Ilmu Hakikat Jahar Dumin, Ajaran Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana, Tarikat Zikrullah Hassan Anak Rimau, Ajaran Martabat Tujuh Hamzah Embi, Antihadis, Aurad Islamiah, Al-Arqam, Ajaran Syed Mohamad al-Mansor, Ajaran Sulaiman (Bahtera Nabi Noh), Ilmu Hakikat Hassan Jonit, Ajaran Qadiani/Ahmadiah, Ajaran Islam Lamaah, Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol, Ajaran Haji Banuar Roslan, Ajaran Zamree Ab Wabah (Ketupat Linux) dan Tarikat Al-Hasaniah.

Tahun 2009 juga akan tetap diingati umat Islam apabila bekas mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin ditahan penguat kuasa Jais kerana menyampaikan dakwah dan mengajar agama tanpa tauliah pada malam 1 November lalu di rumah seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Ampang. Bagaimanapun, Mohd Asri mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Kerana kesarjanaan yang dimilikinya membuatkan ramai mengatakan tokoh sepertinya sepatutnya tidak diperlakukan sedemikian sebaliknya diberi pengiktirafan.

Beliau adalah individu berpengaruh dalam masyarakat serta menjadi tokoh agama yang lantang mengeluarkan pandangan menarik dalam isu agama dan hingga membawa kepada perdebatan.

Dr Asri didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003, yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Penangkapan Dr Asri memberi impak pro dan kontra. Yang nyata, imej Islam tercalar terutama di kalangan bukan Islam melihat seorang tokoh yang dilabel mempunyai karisma ditahan pihak berkuasa agama.

Namun, ia turut mempunyai pelbagai pandangan lain yang mengheret kepada soal fahaman yang dikatakan terlalu mudah sehingga mencabar mazhab lain.

Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim),

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin mengemukakan notis saman balas RM100 juta selepas dikatakan menerima notis saman RM10 juta daripada Dr Asri.

Melalui saman balas itu, Zamihan turut meminta penjelasan kenapa beliau didakwa berfahaman Syiah serta mengkafirkan ulama Arab Saudi dan penduduk Makkah sebelum ini.

Zamihan sebelum ini dikatakan menerima notis saman daripada Dr Asri berikutan kenyataan dibuatnya dalam

laporan sebuah akhbar arus perdana bulan lalu bertajuk Jakim: Asri Palsukan Kelulusan Syariah.

Melalui notis saman dikemukakan itu, beliau dituntut supaya menarik balik tuduhan terhadap Dr Asri dan memohon maaf atas kenyataan dalam laporan akhbar terbabit, yang mengaitkan Dr Asri dengan pemalsuan kelayakan di bidang syariah dari Universiti Jordan dan banyak menggunakan metodologi fahaman Wahabi iaitu sayap dalam Islam yang memahami ajaran agama secara ekstrem.

Polimek yang membabitkan golongan alim ulama ini patut dihentikan kerana Islam menyediakan saluran musyawarah untuk membincangkan pandangan berbeza, bukannya melalui mahkamah.

Apa pun, kita mengharapkan kehadiran 2010 memberi sinar kepada perkembangan Islam di negara ini dan tiada cerita baru yang kurang enak kerana ia akan mencalar imej Islam.

-HARIAN METRO

Larangan Kristian Guna Nama Allah

allahname.jpg
 
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah. Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut. Hakim Lau Bee Lan berkata arahan oleh menteri dalam negeri itu adalah 'tidak sah dan batal".

Menurutnya, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya ekslusif untuk Islam sahaja. Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu mereka.

Hakim Lau berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan 'Allah'. Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini

SUDUT HUKUM
Berikut di atas tadi adalah petikan berita Malaysiakini bertarikh 31 Disember 2009.
Isu ini turut menjadi hangat khususnya apabila terdapat beberapa pandangan diberikan oleh kumpulan ilmuan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujjah dan nas, demikian juga kumpulan kedua. Secara asasnya, ini adalah isu cabang dalam bab aqidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran, perbezaaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.
Dalil-dalil yang diutarakan oleh kedua-dua kumpulan, masih terdiri dari dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh sahaja akan merasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza. Juga tiada wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.
Setelah melakukan penilaian terhadap pelbagai hujjah dan pandangan silam dan kontemporari. Secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah :
Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88).
Ini hanya satu dalil sahaja, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandang SEPERTI mentafsirkan Allah dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH' dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi adalah tuhan pencipta secara umum.
Namun di dalam kaedah dalam fiqh, memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan. Khususnya masyarakat Jahiliyyah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, dan Allah telah difahami merujuk kepada siapa.
Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini, hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan tersebut. Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat daripada hujjah kumpulan yang menolak.
Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama Allah kepada pengertian lughah (dari sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan Allah secara istilah yang merujuk kepada Allah yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.
Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama Allah digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali  penting untuk kita, kerana Bible bukan rujukan kita tetapi Al-Quran. Oleh itu, merujuk  kepada bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah sama ada secara sedar atau tidak sedar. Umat Islam hanya merujuk Al-Quran dan Hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible. Apatah lagi menurut keyakinan Islam, bible yang wujud hari ini bukanlah sama sepenuhnya dengan injil yang diturunkan kepada Nabi Isa as beribu tahun dahulu.
TETAPI ..
Namun demikian, itu adalah dalam konteks penelitian dalil dan nas, atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.
Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.
Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan.
Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama seterusnya boleh membawa pergaduhan yang serius jika gagal dikawal.
Lebih lagi, apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadaan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu serta  kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam.  Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang.
Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah.  Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun hujjah dari sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan amat patut dilakukan, sama ada untuk tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setaip keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian). Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah, dan ruang konflik antara agama yang amat mudah ternyala api pergaduhan.

: Ulasan Ringkas  Oleh  Zaharuddin Abd Rahman

24 November 2009

Sektor maritim kuasai LIMA 2009


Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 09) dijangka menjadi tarikan terbaru kerana mencipta kelainan dan mempunyai keistimewaan tersendiri apabila buat pertama kali melibatkan lebih banyak penyertaan sektor maritim berbanding udara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata, terdapat peningkatan jumlah kapal menyertai LIMA 09 sepanjang ia berlangsung dari 1 hingga 5 Disember ini.

“Pameran atau pertunjukan udara tetap seperti biasa, cuma jumlah pesawat komersial sedikit kurang berbanding dahulu kerana kedudukan kewangan yang tidak mengizinkan disebabkan terlalu banyak mengambil bahagian dalam pameran udara di negara-negara lain.

“Sebanyak 94 buah kapal dan bot pelbagai jenis akan menyertai LIMA kali ini berbanding hanya 71 buah pada LIMA 2007,” kata beliau pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai LIMA 2009 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Rahim Bakri dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung.

Bagaimanapun, kata Ahmad Zahid, pengunjung-pengunjung masih boleh menyaksikan pameran atau pertunjukan udara yang tetap menjadi tarikan melibatkan pesawat-pesawat canggih pasukan tentera beberapa negara yang mengambil bahagian.

“LIMA 09 cuma kurang penyertaan pesawat komersial tetapi pesawat tentera masih boleh dilihat, begitu juga dengan pertunjukan udara, kali ini tidak ada pasukan aerobatik seperti Red Arrow melakukan aksi udara.

“Bagaimanapun pertunjukan udara tetap berlangsung, kali ini kita boleh menyaksikan aksi menarik oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tentera udara dari Singapura. Orang ramai berpeluang untuk melihat pesawat canggih yang dibawa seperti F 16.

Sementara itu, kata Ahmad Zahid, pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pelancongan dan Kementerian Pengangkutan bagi mempromosikan LIMA 09 menerusi pelbagai pendekatan.

Menurut beliau, antaranya, sempena LIMA 09, Kementerian Pengangkutan bersetuju memberi tempoh sehingga tiga bulan kepada pengusaha-pengusaha kereta sewa yang tidak mempunyai permit tetapi telah dikenal pasti supaya beroperasi bagi kemudahan pengunjung ke Langkawi.

Ahmad Zahid berkata, sebanyak 324 syarikat daripada 25 buah negara menyertai LIMA 09.

20 October 2009

Awas dunia tanpa sempadan


Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan koleksi buku hasil karya Persatuan Alumni UiTM sambil diperhatikan oleh Mohd. Zin Mohamed (tengah) dan Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah (kiri) pada majlis Wacana Intelek Ulung di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam. - UTUSAN / SAIFUL BAHARI ASHARI


PUTRAJAYA 19 Okt. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan kerajaan dan rakyat negara ini supaya tidak terlalu ghairah dan mudah terpengaruh dengan konsep dunia tanpa sempadan yang diperkenalkan oleh Barat.
Katanya, ia adalah strategi halus kuasa dunia itu untuk menakluki negara-negara lain bukan melalui peperangan atau persengketaan, tetapi melalui ekonomi dan perdagangan.
Sambil memberi contoh konsep Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) misalnya, ia adalah satu perjanjian yang tidak memberi faedah yang besar kepada Malaysia.
''Negara Singapura yang merupakan negara pertama di rantau ini yang menandatangani perjanjian FTA dengan Amerika Syarikat mungkin tidak rugi apa-apa kerana negara itu mempunyai pelabuhan bebas cukai.
''Tapi jika FTA dijalankan di Malaysia, apa yang perlu kita korbankan?'' tanya beliau di hadapan kira-kira 200 hadirin pada majlis Wacana Intelek Ulung anjuran Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Dalam syarahannya yang bertajuk Strategi Memartabatkan Melayu di Dunia Tanpa Sempadan, Dr. Mahathir berkata: ''Kita kena faham betul-betul apa yang dikatakan dunia tanpa sempadan ini, kesan dan kebaikannya kepada negara supaya kita tidak terperangkap.
''Saya percaya ada udang di sebalik batu tentang konsep ini.
''Kalau kita terima bulat-bulat, mungkin kita boleh hilang kemerdekaan,'' katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya orang Melayu diperkukuhkan dalam semua bidang agar dapat membentuk nilai hidup yang mampu memartabatkan bangsa.
Salah satu daripadanya, jelas beliau, meningkatkan jati diri dengan mengamalkan budaya rajin bekerja supaya tidak mudah dipengaruhi gejala rasuah.
Selain itu, katanya, orang Melayu perlu memastikan kuasa politik tidak lemah supaya tidak hilang hak-hak keistimewaan.
"Seterusnya orang Melayu perlu berwaspada dengan sebarang idea yang datang dari luar termasuk berupaya menolak perkara-perkara yang boleh mendatangkan keburukan kepada kita," katanya.
Pada majlis itu, Dr. Mahathir turut melancarkan laman web Persatuan Alumni UiTM, www.uitmalumni.com dan buku-buku hasil karya persatuan berkenaan.
Persatuan ini yang sedang mengumpulkan ahlinya seramai kira-kira 350,000 orang di merata tempat, ditubuhkan baru-baru ini bagi membantu meningkatkan profesionalisme ahlinya serta menjaga kebajikan mereka.
Turut hadir pada majlis syarahan perdana itu ialah bekas wanita pertama negara, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Naib Canselor UiTM, Tan Sri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah dan Presiden Persatuan Alumni UiTM, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed.

16 Sept. Hari Malaysia cuti umum

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Mulai tahun depan, ulang tahun sambutan Hari Malaysia pada 16 September diisytiharkan sebagai cuti umum di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan itu yang dibuat oleh Jemaah Menteri baru-baru ini bertujuan mengingati sejarah penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

Menurutnya, ini bermakna mulai 2010, rakyat akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Tambah beliau, menerusi Hari Malaysia, kerajaan mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak selepas mereka membuat keputusan untuk menyertai Malaysia sejak 1963 turut dirasai penduduk di Semenanjung.

"Hari Merdeka pada 31 Ogos kekal diraikan bagi mengingati perjuangan mencapai kemerdekaan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan untuk mengingati detik bersejarah itu.

"Hari Malaysia pula dirayakan dengan acara-acara bersifat mengerat perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat dalam bidang sukan, sosiobudaya, dan kesenian bagi menyemarakkan semangat 1Malaysia," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr. Marcus Majigoh (BN-Putatan) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Majigoh sebelum itu ingin mengetahui sejauh mana penerimaan rakyat ke atas seruan 'kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia'.

Perdana Menteri menjawab soalan Majigoh itu serentak dengan 15 soalan Ahli Parlimen lain yang turut menyentuh isu serupa.

Dalam pada itu, Najib menambah, bagi meningkatkan lagi perhubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, kekerapan penerbangan akan dipertingkatkan, pembinaan prasarana bakal diperbanyakkan dan isu kerakyatan akan diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Dalam jawapan lisan itu juga, Najib mengambil kesempatan menerangkan bahawa gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan beliau selepas dilantik sebagai Perdana Menteri telah menjadi gagasan yang digemari ramai khususnya generasi muda.

"Boleh dikatakan tahap pertama dalam pelaksanaan gagasan 1Malaysia telah mencapai matlamatnya. Sama-samalah kita berdoa semoga niat suci kerajaan untuk memupuk perpaduan tulen benar-benar berjaya," katanya.

Menjawab soalan tambahan Majigoh sama ada negara ini wajar mempunyai satu identiti bangsa seperti di Indonesia, Thailand dan Filipina, Najib menjelaskan, beliau bersetuju dengan pendapat tersebut.

Bagaimanapun, katanya, asas pembinaan negara sejak dari awal lagi berasaskan mengintegrasi dan bukannya mengasimilasi seperti yang berlaku di Indonesia, Thailand dan Filipina.

"Ini menunjukkan kepimpinan kita dari awal lagi bersifat terbuka dan inklusif kerana kerajaan melihat itulah jalan terbaik apabila kita dapat menampilkan suatu kekuatan berdasarkan bersatu dalam kepelbagaian.

"Tidak ada negara lain yang unik macam Malaysia. Kita berpegang kepada teras perlembagaan dan boleh menerima unsur-unsur yang berbeza sebagai budaya yang terkandung di bawah bumbung 1Malaysia," jelasnya.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) mengenai dasar Islam Hadhari, Perdana Menteri berkata, setiap dasar baru merupakan kesinambungan kepada dasar terdahulu dengan mendasari nilai menyokong usaha mencapai Wawasan 2020.

Menurut beliau, tidak mungkin sesuatu dasar yang digubal itu boleh berjaya dalam satu penggal kerana ia merupakan kesinambungan perjalanan yang panjang.

Proton nilai draf daripada F1 1Malaysia

PROTON Holdings Bhd mengesahkan, sudah menerima draf perjanjian pemberian lesen jenama Lotus kepada Pasukan F1 1Malaysia (1MF1T) yang mana dijangka dapat dimuktamadkan menjelang bulan depan.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata pengeluar kereta nasional itu kini menilai draf berkenaan dan mengambil tindakan susulan mengenai perkara itu.

"Ya, kami sudah menerima draf perjanjian itu Jumaat lalu dan ketika ini, kami sedang meneliti draf itu. Kami ada mengadakan pertemuan dengan 1MF1T dan ia mungkin dapat dimuktamadkan bulan depan," katanya pada majlis rumah terbuka syarikat berkenaan.

Syed Zainal Abidin berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Berita Harian semalam bahawa 1MF1T diketuai Tune Group sudah menghantar draf perjanjian itu kepada Proton, Jumaat lalu.

19 October 2009

Islam Agamaku

INFO TERKINI

1Malaysia Onlive Tv

Download Lagu MP3

Download Lagu² Pilihan Anda Disini
Powered By 4shread | Serdahana Itu Indah

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites