07 December 2009

Berpantang - Amalan untuk kesihatan, kecantikan diri

BERPANTANG, tempoh waktu membosankan bagi setiap wanita selepas bersalin. Menunggu masa selesai 44 hari, terasa berbulan-bulan lamanya. Ini kerana hari-hari dalam pantang tidak seperti hari biasa.

Dalam waktu berkenaan, segala gerak-geri perlu dijaga rapi. Makan dan minum tidak boleh sebarangan, duduk dan bergerak juga ada cara tertentu.

Andai melanggar pantang, takut bentan dan gejala lain pula timbul. Kalau tidak hari ini, mungkin apabila tua nanti.

Tidak dinafikan, kini ada yang tidak mengendahkan amalan dalam hari. Selain malas, ada yang memberi alasan tiada masa atau tiada siapa dapat menjaga dalam tempoh itu.

Namun bagi mereka yang mementingkan kesihatan dan kecantikan diri, amalan dan rawatan berpantang tidak ditinggalkan.

Hasilnya, bukan sahaja badan sihat malah ada yang mengatakan diri terasa seperti anak dara.

Memahami hakikat ini, Pengarah Urusan Pusat Rawatan Kecantikan Ainaa-Ailaa, Norulnaha Abd. Razak, tidak lokek berkongsi cara-cara melakukan sendiri amalan pantang merangkumi cara mengurut, bertungku, bertangas, berbengkung, bertasak dan menyediakan air rebusan mandi.

Menurut Norulnaha yang gemar membahasakan dirinya sebagai Kak Ana, amalan yang diwarisi daripada nenek moyang itu tidak sukar dilakukan.

Malah katanya, dedaun yang diperlukan kini boleh didapati di pasar harian.

``Kebanyakan wanita moden masih mengutamakan cara perubatan tradisonal serta petua bagi menjaga kesihatan ketika berpantang.

``Bahkan, doktor atau pakar perbidanan juga tidak menolak terus cara pengubatan tradisional asalkan si ibu tahu cara betul mengamalkannya,'' katanya.

Kak Ana menjelaskan, biasanya amalan berpantang cara orang dulu-dulu dilakukan dengan bimbingan ibu atau saudara lebih tua kerana golongan muda kurang arif mengenai ramuan serta teknik rawatan.

Kaedahnya juga, kata ibu kepada empat cahayamata ini, pelbagai dan bergantung kepada keturunan atau budaya seseorang.

Apa pun, jelas Kak Ana yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang ini, seelok-eloknya selepas tiga hari bersalin, si ibu boleh mula diurut.

Urut antara amalan paling penting. Ia hendaklah dilakukan setiap pagi selepas mandi. Selain bertujuan awet muda, ia mampu melancarkan peredaran darah, buang angin, membetulkan urat, menenangkan fikiran dan menyihatkan badan.

``Amalan berurut selama tiga atau tujuh hari berturut-turut dan selepas pantang, badan perlu diurut sekurang-kurangnya sekali sebulan,'' jelasnya.

Sementara itu, Kak Ana memberitahu, dalam pantang lebih elok mandi air rebusan daun daripada air biasa kerana setiap daun yang digunakan mempunyai khasiat tersendiri.

Sepanjang tempoh berpantang, mandi hendaklah sepenuhnya menggunakan air rebusan daun. Dipercayai amalan mandi cara ini dapat mengeluarkan angin dalam badan, mengendurkan otot, menghaluskan kulit dan untuk awet muda.

Mandi juga, katanya, ada caranya iaitu mulakan dengan menjirus ibu jari kaki kanan sambil digosok perlahan-lahan.

Ratakan hingga pinggang kemudian mulakan pula pada ibu jari kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena air.

Selesai kaki kiri, ulangi pada kaki kanan, jirus hingga ke bahu. Kemudian berpatah balik kepada kaki kiri hingga ke bahu.

Akhirnya, perlahan-lahan jirus kepala dan selepas itu barulah mandi keseluruhan badan sepuas-puasnya, tidak perlu dibilas air biasa.

Menyentuh mengenai amalan bertungku, katanya, caranya hampir sama seperti mengurut dan ia dilakukan selama sejam sebelum atau selepas mengurut.

``Amalan ini mengecutkan urat yang kembang selepas bersalin di samping memperbetul serta melancarkan perjalanan darah,'' jelasnya.

Lebih baik, katanya, amalan itu dilakukan dengan menggunakan batu sungai ini kerana kesan bertungku bukan kerana berat batu, tetapi tahap kepanasannya yang dapat meresap hingga ke dalam.

Biasanya, kata Kak Ana, darah nifas mengalir lancar selepas bertungku. Jika rajin, bertungku katanya, boleh dilakukan hingga 44 hari. Selain bertungku, bukan mustahil jika dikatakan ada di antara wanita yang tidak tahu penggunaan pilis.

``Gunanya untuk mengurangkan panas di kepala serta menghindarkan daripada terasa pening,'' katanya.

Memiliki empat buah cawangan pusat Kecantikan Ainaa-Ailaa di Bangi dan Kajang, Selangor, Kak Ana turut memperkenalkan Rempah Permaisuri keluaran syarikatnya, Nu' della.

``Untuk rawatan lebih berkesan, amalkan Rempah Permaisuri. Amalan ini untuk memulihkan semula otot perut dan rahim seperti sebelum beranak,'' katanya sambil menambah amalan itu molek diteruskan sampai bila-bila.

Sementara itu, Kak Ana mengingatkan mereka yang sedang berpantang agar makan makanan yang boleh memanaskan badan seperti halia, lada hitam dan Rempah Permaisuri.

``Elakkan daripada makanan sejuk seperti pucuk ubi, kekacang, pucuk paku, kangkung, timun dan sebagainya. Hindari juga makanan tajam dan berbisa,'' katanya.

Selain itu, kawal perasaan jangan bersedih atau berasa tertekan. Agar kepala tidak masuk angin, rambut perlu diikat tegang.

Duduk pula, katanya, hendaklah bersimpuh dan rapatkan paha supaya tulang punggung tidak kembang.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan petua penjagaan dalam pantang boleh menghubungi Kak Ana melalui talian 013 3511139 atau 03 89255002.

Oleh Ruhaidini Abd Kadir

0 komen:

Islam Agamaku

INFO TERKINI

1Malaysia Onlive Tv

Download Lagu MP3

Download Lagu² Pilihan Anda Disini
Powered By 4shread | Serdahana Itu Indah

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites