18 December 2009

Dunia di persimpangan genting tangani perubahan iklim: PM

COPENHAGEN: Dunia kini di persimpangan genting dan generasi masa depan akan menanggung akibat kesan perubahan iklim jika pemimpin masa kini tidak sanggup berkorban dan mengambil langkah tegas bagi menanganinya, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, dunia tidak perlu menunggu hingga 2050 untuk melihat kesan perubahan iklim kerana negara pulau seperti Maldives akan tenggelam jika suhu dunia meningkat hanya sebanyak 1 darjah Celcius lagi.

"Kita kini di persimpangan genting, kita bercakap soal generasi masa depan dan ia (tindakan menangani perubahan iklim) perlu berlaku sekarang.

"Ini memerlukan pengorbanan dan kesanggupan politik untuk menyediakan peruntukan bagi mencapai sasaran global bagi pelepasan karbon," katanya berucap pada majlis bersama kira-kira 200 rakyat Malaysia di sini malam tadi.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berada di ibu negara Denmark ini untuk menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2009 (CP15).
Merujuk mesyuarat Kabinet Maldives yang diadakan di bawah laut baru-baru ini, Perdana Menteri berkata tindakan Pesiden Mohamed Naseed itu ialah untuk menunjukkan kepada dunia betapa negaranya dan negara pulau lain menghadapi ancaman besar akibat perubahan iklim.

Malah, katanya, ancaman akibat pemanasan global seumpama itu juga dihadapi negara lain, termasuk Malaysia yang mula merasai cuaca luar biasa di mana taburan hujan jauh meningkat dan banjir melanda kawasan yang tidak pernah mengalami bencana itu.

"Batu Pahat ditenggelami air, ini belum pernah berlaku. Itu adalah antara contoh kesan ringan pemanasan global," katanya sambil menambah baru-baru ini bongkah ais besar terpisah dari benua Antartika dan bergerak ke arah Australia.

Sehubungan itu, Najib berkata pemimpin dunia perlu sepakat berusaha menangani kesan perubahan iklim kerana masalah itu tidak dapat diselesaikan sebarang negara secara bersendirian.
"Kita perlu bangkit melepaskan diri daripada kekangan kepentingan negara masing-masing. Jika kita hanya memikirkan penyelesaian berasaskan negara, kita hanya membuang masa di Copenhagen.

"Kita perlu melonjak dan mencari penyelesaian global. Hanya dengan cara itu apabila 2050 menjelang, kita dapat menghirup udara bersih dan selamat daripada ancaman perubahan iklim," katanya.

Menyentuh konsep 1Malaysia, Perdana Menteri percaya ia dapat memantapkan perpaduan nasional dan menjurus kepada kekuatan masyarakat Malaysia untuk menghadapi cabaran masa depan sebagai satu negara.

Najib berkata, konsep 1Malaysia dapat melenyapkan prasangka dan ketidakpuasan hati di antara kaum yang merasakan sesetengah dasar kerajaan meminggirkan mereka.

"Sudah tiba masanya kita menghadapi cabaran sebagai satu negara," katanya.

Perdana Menteri berkata, semangat 1Malaysia itu juga mampu melonjakkan negara ke tahap kejayaan lebih tinggi dan beliau berikrar akan memimpin negara ke arah kecemerlangan.

"Sebagai Perdana Menteri anda semua, saya komited untuk memimpin Malaysia ke tahap lebih tinggi. Diharapkan apabila sampai waktunya anda semua akan menyokong saya," katanya.

0 komen:

Islam Agamaku

INFO TERKINI

1Malaysia Onlive Tv

Download Lagu MP3

Download Lagu² Pilihan Anda Disini
Powered By 4shread | Serdahana Itu Indah

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites