16 December 2009

Tazkirah - Guna harta untuk dunia akhirat

Saad bin Musa al-Ansari bercerita: Pada satu hari ketika pulang daripada perang Tabuk beliau bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Ketika itu Rasulullah melihat tangan Saad yang kulitnya hangus kehitaman.

Kemudian Rasulullah bertanya kepada Saad, "Apa yang terjadi kepada tangan kamu? Jawab Saad: "Aku mencangkul tanah untuk menanam pokok demi mencari nafkah buat keluarga aku."

Lalu Rasulullah mengambil tangan Saad kemudian menciumnya sambil bersabda: "Inilah tangan yang tidak disentuh api neraka." Dalam riwayat lain: Selepas mencium tangan Saad, Nabi bersabda: "Inilah tangan yang dicintai Allah dan Rasulullah."

Ketika kita membaca hadis ini, kita sebenarnya patut sedar bagaimana Rasulullah yang agung itu boleh mengambil tangan Saad iaitu seorang orang biasa.

Apa istimewanya kulit yang hitam, keras dan melepuh itu dalam Islam? Kemudian apa kaitannya dengan risalah Rasulullah s.a.w? Seolah-olah ada kaitannya; cangkul dengan agama dan syurga.

Jika dilihat tangan yang melepuh itu adalah disebabkan kerja yang dilakukan. Kerja pula adalah perkara dunia dan mencari nafkah juga soal dunia. Makanan yang dimakan pula akhirnya akan bertukar menjadi najis.

Ini menggambarkan seolah-olah Rasulullah s.a.w mahu memberitahu dunia dan akhirat perlu dipertemukan serta saling melengkapi.



Apakah dengan bekerja itu kita boleh masuk syurga? Inilah paradigma yang kini disalah erti serta disalah anggap berkenaan hakikat dunia apabila sudah berlaku pemisahan antara dunia dan akhirat.

Atas sebab itu generasi umat Islam pernah ketinggalan jauh di belakang kerana memisahkan dunia dengan akhirat. Ada pula yang terlalu mengutamakan kerohanian yang sesat sehingga mengatakan Islam agama yang tidak memerlukan dunia.

Kedengaran juga ada yang mengatakan dunia buat orang kafir menyebabkan kita terus ketinggalan sehingga agama itu tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Bagi rakyat Malaysia matlamat menuju menjadi sebuah negara maju pada 2020 kian hampir, tetapi yang ditakutkan apabila kedua-duanya kosong, dunia tidak dapat dan akhirat pun begitu juga.

Mengikut sejarah peradaban Islam lampau, memang jelas membuktikan kefahaman yang dibina berdasarkan hadis Nabi terbukti berjaya.

Mereka berebut mencari dunia bagi membina agama. Dapat disimpulkan mereka membuktikan harta adalah satu perkara mulia jika dimiliki orang yang soleh.

Cuma yang tinggal adalah bagaimana dunia yang kita idam dan impikan itu hendak ditukarkan supaya boleh digunakan di dunia dan di akhirat.

Terdapat enam syarat jika kita penuhi, kita bakal bergelar VIP dunia dan akhirat serta menjadikan kita sentiasa beribadat selama 24 jam sehari semalam.

1. Ikhlas

Untuk mendapatkan keikhlasan seseorang itu perlu menetapkan di hati mereka setiap perkara yang dilakukan itu adalah kerana Allah. Ini kerana Allah Maha Mengetahui setiap perkara. Jadi tidak perlu riak dan hendaklah berusaha melakukan sebaik mungkin kerana semua amalan akan dihitung di hadapan Allah kelak.

2. Semua perkara yang diusahakan hendaklah berasaskan sumber yang halal.

Ini termasuk kita perlu mematuhi segala bentuk syariat yang ditetapkan serta berlandaskan undang-undang negara.

3. Melalui proses yang betul

Kita perlu meneliti sumber setiap pekerjaan dan mengelak daripada mencuri tulang serta mengambil harta orang lain. Selain itu jauhkan diri daripada bersikap tamak serta hasad dengki sesama manusia.

4. Pekerjaan hendaklah dibuat secara betul

Kita tidak boleh sesekali melakukan kerja dengan sambil lewa. Jadi kita perlu mengerah seluruh tenaga bagi memungkinkan kita menghasilkan kerja yang terbaik.

5. Menekankan prinsip dan disiplin tinggi dalam pekerjaan

Biar apa pun desakan kerja yang kita hadapi pastikan kita tidak sampai melanggar perkara yang ditegah agama. Pastikan juga kita sentiasa menjaga solat dan menutup aurat.

6. Gunakan hasil yang diperoleh secara bijaksana

Setiap kejayaan yang diperoleh hendaklah disalurkan bagi faedah bersama. Kita ditegah menggunakan kuasa yang dimiliki dengan berbuat zalim serta merendah-rendahkan orang lain.

Kesimpulannya, harta yang mulia adalah dengan menikmati segala kekayaan seperti kesihatan, harta benda, jawatan serta kuasa itu bagi meningkatkan ketaatan serta keredaan kepada Allah s.w.t.

0 komen:

Islam Agamaku

INFO TERKINI

1Malaysia Onlive Tv

Download Lagu MP3

Download Lagu² Pilihan Anda Disini
Powered By 4shread | Serdahana Itu Indah

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites