31 December 2009

MyID percepat urusan orang ramai

Dengan hanya menggunakan nombor MyKad, orang ramai kini boleh mencapai pelbagai kemudahan di agensi kerajaan tanpa perlu mengingati nombor rujukan yang berlainan untuk setiap urusan.

Sistem terbaru dikenali sebagai MyID itu merupakan pertama seumpamanya di dunia dan diyakini dapat melicinkan lagi urusan orang ramai dengan agensi kerajaan.

Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Normah Md. Yusof berkata, perkhidmatan tersebut tidak hanya menjurus kepada perkhidmatan berasaskan teknologi maklumat tetapi merangkumi perkhidmatan kaunter, telefon atau penggunaan borang.

''Dengan memperkenalkan MyID, pengguna hanya menggunakan nombor MyKad sahaja ketika berurusan dengan agensi berlainan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

''Ia dapat mengelakkan masalah di mana orang ramai terpaksa berpatah balik ke rumah kerana terlupa nombor rujukan untuk sesuatu urusan, mereka tidak perlu lagi mengingati nombor yang banyak," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, Normah berkata, soal keselamatan maklumat peribadi pengguna tidak timbul dengan pengenalan MyID.

"Agensi kerajaan berkenaan boleh membuat pengesahan identiti sebagai semakan peringkat kedua sebelum akses kepada maklumat dibenarkan," katanya.

Normah berkata, selari dengan pengenalan MyID, semua agensi kerajaan perlu memastikan semua saluran urusan sedia ada dapat menyokong MyID.

Menurutnya, semua dokumen yang dikeluarkan untuk individu umpamanya perlu mempunyai nombor MyKad sebagai nombor rujukan.

"Agensi kerajaan perlu memastikan semua pegawai yang berurusan dengan orang awam hanya meminta nombor MyKad sebagai nombor rujukan untuk warganegara Malaysia.

"Agensi juga perlu memastikan bahawa borang yang dibekalkan kepada warganegara Malaysia hanya mengkehendaki pengisian nombor MyKad dan bukannya nombor rujukan lain," katanya.

Beliau berkata, MyID akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

"Kita akan mengedarkan buku risalah mengenai perkhidmatan yang boleh menggunakan MyID pada hari pelancaran.

"Antara perkhidmatan yang telah melaksanakan MyID adalah semakan profil pencari kerja dan permohonan dan semakan daftar rakyat termiskin," katanya.

0 komen:

Islam Agamaku

INFO TERKINI

1Malaysia Onlive Tv

Download Lagu MP3

Download Lagu² Pilihan Anda Disini
Powered By 4shread | Serdahana Itu Indah

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites