20 October 2009

Khasiat al-Quran

"Hanya satu sahaja jalan untuk menjadi seorang yang beragama, iaitu dengan mengkaji Al-Quran secara berterusan. Terdapat perbezaan antara mengaji dan mengkaji. Mengkaji Al-Quran tidak terhad kepada membaca firman-firman Allah semata-mata. Ia bermula dari proses membaca, memahami maksud, merenung maksud-maksud dan seterusnya mengamalkannya di dalam kehidupan.

Untuk memahami maksud-masud dan tafsir ayat-ayat Al-Quran, seseorang itu perlu melakukan banyak kajian lanjutan seperti merujuk kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab hadith atau bertanya dengan orang yang lebih arif. Bahan-bahan rujukan perlu dipilih dari bahan yang benar dan sahih supaya tidak tersesat jalan. Melalui proses inil ilmu agama seseorang akan bertambah secara berperingkat.

Selain daripada hukum-hakam, Al-Quran juga mengandungi pelbagai ilmu yang hebat dan terkini. Sebagai contohnya, terdapat beberapa ayat-ayat yang menceritakan tentang prinsip aerodinamik, fizik kuantum, astronomi, embriologi dan lain-lain. Bahkan Al-Quran juga telah menjelaskan kebenaran beberapa teori sains masa kini seperti teori Big Bang, teori relativiti masa Einstein, teori evolusi kehidupan dan sebagainya. Dari sudut perniagaan pula, Al-Quran menceritakan tip untuk melariskan dagangan, teknik berkomunikasi dengan pelanggan, tatacara membuat pinjaman dan macam-macam lagi. Dari segi perhubungan, Al-Quran menceritakan tentang hubungan suami isteri, hubungan antara ayah dan anak, hubungan anak dengan dua orang tuanya. Hatta, teknik menulis novel juga terdapat di dalam Al-Quran.

Semua ilmu ini hanya diperolehi apabila seseorang itu membaca dan merenung Al-Quran dengan konsisten setiap hari. Firman Allah di dalam surah An-Nur ayat 44, “Allah menukarkan malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hatinya berfikir.” Seseorang yang mengkaji Al-Quran secara serius akan mendapati dirinya lebih berilmu daripada orang lain dari pelbagai sudut dan semuanya boleh dimulakan dengan hanya membeli senaskah terjemahan Al-Quran yang bernilai tidak lebih dari RM20.00.

Kajian berterusan terhadap Al-Quran akan memberi kesan positif kepada pembentukkan akhlak seseorang. Acuan Al-Quran telah berjaya memperhebat akhlak mulia Rasulullah dan para sahabat. Aisyah, isteri nabi pernah ditanya tentang akhlak nabi, beliau menjawab dengan ringkas, “Akhlaknya adalah Al-Quran.”

Kajian terhadap Al-Quran dan maklumat-maklumat yang berada di dalamnya tidak perlu dilakukan sekaligus. Memadai dengan beberapa ayat setiap hari. Di dalam Tafsir At-Tabari, Imam At-tabari telah merekodkan kenyataan Ibnu Mas’ud, bahawa beliau dan para sabahat dahulu mempelajari tidak lebih dari sepuluh ayat Al-Quran setiap kali, mereka tidak akan melampauinya sebelum betul-betul memahami secara benar maknanya dan mengamalkannya.

Alangkah indah sekiranya setiap orang dapat meluangkan sedikit masa mengkaji beberapa ayat Al-Quran setiap hari. Seterusnya amalan ini dibawa sehingga ke alam perkahwinan lalu ditiru pula oleh anak-anak dan generasi seterusnya.

Sahabat Mu’az Al-Juhaini ada menceritakan bahawa Rasulullah pernah bersabda, “Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengannya, maka pada hari kiamat kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota, yang sinarnya lebih terang daripada sinar matahari di dunia, sekalipun matahari itu berada di rumah-rumah kamu. (Jika ibu bapa telah memperoleh pahala seperti itu), maka bagaimana menurut perkiraanmu pahala seorang yang membaca Al-Quran ?”

Orang yang beragama dan berilmu, sentiasa disambut untuk dijadikan kawan, sentiasa diidam untuk dijadikan menantu.

0 komen:

Islam Agamaku

INFO TERKINI

1Malaysia Onlive Tv

Download Lagu MP3

Download Lagu² Pilihan Anda Disini
Powered By 4shread | Serdahana Itu Indah

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites