20 October 2009

Rating PFM untuk para pekerja filem



AHMAD Puad Onah beramah mesra bersama para tetamu pada majlis rumah terbuka Aidilfitri PFM di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Gambar HARUN OSMAN

BIASANYA rating dikeluarkan untuk sesebuah rancangan sama ada yang disiarkan menerusi televisyen (TV) atau radio berdasarkan jumlah penonton dan pendengar yang mengikuti sesebuah rancangan itu. Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) juga tidak ketinggalan mahu memperkenalkan sistem rating tetapi ia lebih memfokuskan untuk para pekerja filem seperti pelakon dan krew yang terbabit dalam sesebuah produksi.
Menurut Presiden PFM, Ahmad Puad Onah sistem rating yang akan dikeluarkan oleh persatuan itu akan memberi penilaian terhadap bakat, komitmen, disiplin dan cara bekerja mereka yang terbabit.
Katanya, dengan adanya sistem rating yang dikategorikan ke atas individu-individu terbabit ia bukan sahaja akan meletakkan harga bayaran setimpal dengan sumbangan kerja mereka tetapi turut mampu mempertingkatkan mutu sesebuah produksi tersebut.
"Tujuan kami supaya ada satu benchmark yang boleh digunakan oleh para penerbit dalam menentukan kadar bayaran, kesungguhan dan disiplin kerja semua yang terbabit dalam sesebuah produksi.
"Dengan adanya sistem rating ini nanti, kami yakin akan dapat membuat keputusan yang lebih baik dan menuntut harga yang tinggi untuk sesebuah produksi itu," katanya kepada Hits ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri PFM di Menara Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada majlis yang dihadiri oleh ahli-ahli PFM, turut diraikan ialah wakil-wakil pawagam dan media massa yang telah banyak membantu PFM dalam mengembangkan bidang perfileman tanah air.
Jelas Ahmad Puad, buat masa ini PFM sedang merancang untuk menyediakan satu halaman di laman sesawang persatuan itu bagi memberi rating kepada para pelakon serta tenaga kerja produksi lain bagi setiap projek filem dan kandungan TV terbitan ahli-ahlinya.
memorandum
Selain meraikan para tetamu pada majlis itu, PFM telah mengeluarkan suatu memorandum yang mengandungi 7 usul dan 28 cadangan kepada kerajaan merangkumi pelbagai aspek bagi memantap serta mengembangkan industri perfileman tempatan.
Katanya, dalam memorandum itu, PFM telah membangkitkan antaranya isu cadangan berkaitan insentif cukai, skim wajib tayang dan pemulangan duti hiburan, hak cipta, masalah cetak rompak, pembangunan industri bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.
"Kami telah pun menghantar memorandum ini antaranya kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan beberapa kementerian yang berkaitan.
"Salinannya juga telah dihantar kepada agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Polis Diraja Malaysia, RTM (Radio Televisyen Malaysia) dan Unit Perancang Ekonomi.
"PFM akan membuat susulan daripada memorandum yang telah kami usul dan serahkan kepada pihak-pihak terbabit. Kami harap memorandum ini akan mendapat perhatian daripada mereka," ujarnya.
Jelasnya, memorandum itu diharap dapat membuka mata pihak-pihak terbabit bagi membantu bidang perfileman di negara ini yang disifatkannya masih kecil berbanding agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab ke atasnya.
Justeru, beliau berharap, semua agensi yang terbabit dalam industri filem tampil dan membantu PFM secara bersepadu agar bidang yang mampu menjana ekonomi negara itu dapat terus berkembang pada masa depan.
"Dalam hal ini kami harap Finas dapat memainkan peranan mereka secara proaktif kerana ia merupakan badan khusus yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi membantu mempertingkatkan industri tersebut. Malah, Finas juga sudah memberi persetujuan untuk membantu kami," terangnya.
Sementara itu, pada majlis itu juga PFM buat julung kalinya telah memberi Anugerah Pengiktirafan PFM kepada pihak pawagam, agensi kerajaan dan media massa yang telah banyak menyokong bidang perfileman di negara ini.
Anugerah berbentuk plak itu disampaikan sendiri oleh Ahmad Puad bersama Setiausaha PFM, Norman Abdul Halim kepada para pemenang terbabit.

0 komen:

Islam Agamaku

INFO TERKINI

1Malaysia Onlive Tv

Download Lagu MP3

Download Lagu² Pilihan Anda Disini
Powered By 4shread | Serdahana Itu Indah

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites