20 October 2009

MAHB ke 2 negara muktamad 2010

Perbincangan kendali lapangan terbang Afrika, Asia Barat masih diteruskan

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan perbincangan mengenai rancangan mengendalikan dua lagi lapangan terbang di luar negara, iaitu Afrika dan Asia Barat, akan dimuktamadkan menjelang suku pertama tahun depan.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Bashir Ahmad, berkata perbincangan dengan pihak berkaitan di kedua-dua rantau terbabit berhubung perkara itu masih berjalan dan setakat ini, belum ada keputusan konkrit mengenainya.
"Perbincangan mengenai tujuan mengendalikan lapangan terbang di kedua-dua rantau terbabit sudah berlangsung sejak enam bulan lalu, dan kami berharap dapat memuktamadkannya dalam tempoh beberapa bulan lagi, kemungkinan suku pertama tahun depan," katanya pada sidang media mengenai penganjuran Perhimpunan Agung Sedunia Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) ke-19 di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, rancangan penerokaan ke rantau terbabit sejajar langkah memperluaskan pengembangan operasi MAHB di luar negara, sekali gus memperkukuhkan kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan terbaik dalam bidang pengendalian lapangan terbang.

Ketika ini, katanya, MAHB mengendalikan tiga lapangan terbang antarabangsa di luar negara iaitu Hyderabad dan Delhi di India, manakala satu lagi Sabiha Gokcen di Turki.

"MAHB kini menguruskan dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia termasuk lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik serta 18 pelepasan dan pendaratan pendek," katanya.

Dalam pada itu, Bashir berkata, MAHB sentiasa mengintai peluang untuk mengembangkan operasi di negara berhampiran Malaysia seperti India, China dan Asia Barat, serta akan menjadikan acara ACI sebagai platform kukuh ke arah itu.

"Kami akan menjadikan persidangan ini sebagai antara platform yang baik bagi meningkatkan jaringan dan peluang di kalangan pengendali lapangan terbang, termasuk MAHB untuk meneroka mana-mana lapangan terbang yang baik untuk diuruskan atau diswastakan," katanya.

Mengenai ACI, beliau berkata, MAHB akan menjadi hos bagi persidangan antarabangsa tahunan yang berlangsung dari 2 hingga 4 November ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut diadakan sempena acara itu ialah persidangan ACI Asia-Pasifik.

ACI dijangka menarik lebih 600 delegasi berkaitan industri penerbangan dari seluruh dunia.

0 komen:

Islam Agamaku

INFO TERKINI

1Malaysia Onlive Tv

Download Lagu MP3

Download Lagu² Pilihan Anda Disini
Powered By 4shread | Serdahana Itu Indah

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites