27 November 2009

Keberkatan Hidup Berteraskan Taqwa

Secara mudahnya perkataan atau konsep taqwa boleh didefinisikan sebagai pengabdian yang menyeluruh seseorang hamba kepada Tuhannya. Dari sudut kaedah al-Quran, taqwanya manusia terhadap Allah digerakkan oleh empat faktor asas iaitu takut, harap, sabar dan syukur. Takut kepada siksa Allah sekiranya melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Allah; sentiasa mengharap rahmat dan nikmat Allah; sabar terhadap percubaan-percubaan yang datangnya dari Allah; dan syukur terhadap kurniaan-kurniaan Allah.

Dalam kehidupan, manusia tidak dapat lari berdepan dengan keempat-empat faktor ini dan menangani keempat-empat faktor ini sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam. Namun, besar kemungkinan perkataan "taqwa" adalah satu perkataan yang paling kerap disebut dan mungkin paling kerap disalahertikan.



Sekiranya kita merujuk kepada surah al-Baqarah, ayat 208 yang mafhumnya : "Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." Maka jelas kepada kita bahawa pengabdian diri secara menyeluruh dalam Islam merupakan pra-syarat bagi membolehkan diri manusia menggunakan label "orang yang beriman."



Ayat ini dengan jelas memberitahu kepada kita bahawa salah satu syarat yang wajib dipenuhi bagi membolehkan orang-orang yang mengaku diri mereka Islam dikenali sebagai "orang-orang yang beriman" ialah dengan mengikut sepenuhnya ajaran Islam yang mencakupi semua aspek kehidupan seperti politik, ekonomi, perundangan, sosial, pendidikan, akhlak dan sebagainya.



Adalah sesuatu yang janggal dengan tuntutan Islam sekiranya seseorang individu, sesebuah masyarakat atau negara mengamal sebahagian peraturan atau hukum Islam dan sebahagian yang lain adalah dari peraturan atau hukum bukan Islam. Ini bererti mencampur adukkan di antara yang haq dengan bathil.



Selain itu, ayat di atas juga memperlihatkan kepada kita dengan jelasnya bahawa mengamalkan sebahagian sahaja dari Islam adalah pada hakikatnya merupakan "langkah-langkah" atau "kaedah-kaedah" yang dilakukan oleh syaitan dan syaitan adalah musuh yang nyata bagi orang-orang yang beriman.



Ini juga bermakna pengabdian seseorang yang beriman kepada Tuhannya mestilah bersifat menyeluruh. Tidak ada ruang dalam hati orang yang beriman untuk meragui kebenaran suruhan dan larangan Allah. Meragui akan kebenaran dan suruhan Allah walaupun sebesar zarah bererti juga mengikuti atau terjebak dengan perangkap syaitan yang sentiasa membisikkan ke dalam hati manusia keraguan terhadap kebenaran syariat Ilahi.



Kenapakah faktor ketaqwaan begitu dititikberatkan dalam Islam? Salah satu jawapannya ialah ianya berkait rapat dengan faktor keadilan. Keadilanlah yang membuahkan kehidupan yang seimbang, tersusun, tenang dan harmoni. Tersisihnya faktor keadilan dalam kehidupan manusia bererti kehidupan manusia digerakkan oleh faktor yang berlawanan dengannya iaitu kezaliman.


Apabila kezaliman yang mentakrif kehidupan manusia maka kehidupan masyarakat tidak lagi seimbang kerana secara definisinya zalim bererti "meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya." Maka dengan ini dapatlah difahami betapa pentingnya faktor ketaqwaan dijadikan batu asas kepada masyarakat manusia, malah tujuan terpenting manusia dilahirkan ke dunia adalah untuk bertaqwa kepada Allah.



Hal ini dapat difahami kerana memang matlamat penting bagi kehidupan "orang-orang yang beriman" ialah untuk bertaqwa kerana sekiranya pengakuan dibuat bahawa suatu kaum atau golongan itu mengaku bahawa mereka beriman tetapi tidak bertaqwa dalam ertikata tidak takut dan patuh kepada seluruh ajaran Allah, maka pada hakikatnya mereka tidak beriman.



Manusia pada hakikatnya adalah hamba Allah, dan sebagai seorang hamba adalah mustahil baginya untuk tidak mematuhi ajaran dan suruhan tuannya iaitu Allah. Sifat seorang hamba ialah mendengar dan mematuhi seluruh ajaran dan arahan tuannya. Kepatuhan yang menyeluruh seorang hamba kepada Penciptanya tidak akan membawa kepada kezaliman atau ketidakadilan.



Kepatuhan yang menyeluruh yang melahirkan sifat ketaqwaan dalam diri manusia seterusnya melahirkan keadilan dalam kehidupan manusia, dan keadilan yang membuahkan kejayaan atau kemenangan (alfalah) kepada masyarakat manusia. Seterusnya, keadilan yang wujud dari ketaqwaan tadi akan meresap masuk ke dalam aspek kehidupan yang lain seperti keadilan dari segi politik, ekonomi, sosial dan seluruh ruang lingkup kehidupan.



Sebagai contoh, sistem politik yang adil yang diasaskan kepada perkiraan ketaqwaan adalah sistem politik yang bebas dari penyalahgunaan kuasa. Kuasa yang digunakan adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah bukan keredhaan manusia. Sistem politik yang adil adalah sistem yang menggunakan kuasanya bagi menegakkan yang haq dan memerangi yang bathil, menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar.



Begitu juga dengan sistem ekonomi yang adil. Kekayaan anugerah Allah adalah bagi tujuan meringankan beban yang dipikul oleh golongan yang kurang bernasib baik dalam masyarakat. Harta kekayaan sama juga dengan kuasa adalah anugerah dan amanah kepada manusia. Ini bukan milik manusia secara mutlak. Sistem ekonomi Islam yang adil mempunyai asas pengagihan yang luas dalam ertikata kekayaan yang Allah anugerahkan tidak boleh berlegar di sekitar sekumpulan kecil manusia sahaja, sedangkan dalam masa yang sama sebahagian besar manusia tidak mendapat manfaat darinya.



Sebagai contoh, apa yang berlaku di dunia hari ini ialah segolongan kecil manusia yang mempunyai kekayaan yang banyak ini mempergunakan kekayaan ini bukan pada jalan yang dituntut oleh Allah. Pembaziran dan rasuah berlaku secara berleluasa. Sistem ekonomi yang diamalkan adalah juga sebahagian besarnya masih lagi berteraskan riba yang dilarang sekeras-kerasnya oleh Islam. Akibatnya, berlakulah penindasan, penipuan, kezaliman dan sebagainya yang akhirnya membawa kebinasaan kepada manusia itu sendiri.



Apa yang jelas dalam amalan kehidupan masa kini ialah suatu yang sangat berlawanan dengan tuntutan taqwa. Di mana, berlawanan dengan sifat taqwa itu ialah derhaka, menentang, mempersenda dan meragui ajaran dan peraturan Allah. Sifat derhaka akan melahirkan ketidakadilan atau kezaliman, dan sebarang sistem hidup yang tidak berlandaskan kepada ketaqwaan akan melahirkan ketidakadilan dan seterusnya akan melahirkan kerosakan di atas muka bumi ini.



Sementara di peringkat antarabangsa pula, sistem politik, ekonomi dan sosial ciptaan manusia yang diamalkan telah melahirkan ketidakadilan dan kezaliman khususnya terhadap orang-orang Islam. Amerika Syarikat, kuasa besar dunia yang mendabik dada yang kononnya mengamalkan demokrasi telah bersifat hipokrit terhadap orang-orang Islam dan secara tidak langsung membuat rancangan-rancangan jahat bagi menghancurkan Islam. Dengan kekuatan yang dimilikinya, Amerika Syarikat berdiri teguh di belakang rejim haram Yahudi yang telah memporak perandakan kehidupan orang-orang Palestin yang diusir dari kampung halaman mereka sendiri.



Pencerobohan Amerika Syarikat terhadap Iraq dan Afghanistan serta kecaman-kecaman keras yang dikeluarkan olehnya terhadap beberapa buah negara Islam yang lain menjadi petanda jelas bahawa keangkuhan Amerika Syarikat bukan hanya untuk memerangi orang-orang Islam, tetapi juga kerakusannya terhadap hasil bumi yang dimiliki oleh negara-negara Islam. Bukankah ini menjelaskan kepada kita betapa sistem hidup yang dicipta oleh manusia sebenarnya satu sistem yang tidak adil, yang penuh dengan ciri-ciri kezaliman, penindasan, keangkuhan, bermuka-muka dan serba kekurangan.



Oleh itu, adalah sesuatu yang tidak menghairankan sekiranya sistem demokrasi tajaan Barat juga digunakan secara halus untuk menyekat kebangkitan Islam. Dalam negara di mana sebahagian besar rakyatnya inginkan kepada Islam maka demokrasi dipastikan tidak beroperasi dan kuasa ketenteraan digunakan.



Apa yang jelas di sini ialah sistem demokrasi ciptaan Barat telah melahirkan kezaliman dalam masyarakat, dan bagi kita orang Islam hanya sistem ciptaan Allah sahajalah yang mampu melahirkan suasana ketaqwaan dan keadilan serta menjana kejayaan dan kemenangan kepada kehidupan manusia di dunia dan di akhirat.



Keadaan ini seharusnya menyedarkan kita betapa berbahayanya sifat zalim dalam kehidupan manusia. Maka atas kesedaran ini kita mesti menolak sebarang sistem yang zalim sama ada ianya berbentuk ideologi ataupun sistem kehidupan. Sekiranya telah jelas akan kepincangan yang terdapat pada ideologi dan sistem kehidupan yang diasaskan kepada pemikiran manusia, namun kita masih lagi meyakini dan cenderung kepadanya, maka wajar kita digolongkan dalam golongan manusia yang zalim.



Oleh itu setelah menyedari betapa ruginya untuk menjadi seorang yang zalim dalam ertikata menentang syariat Allah, maka adalah lebih baik dan wajar bagi kita sebagai manusia mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, kerana hanya dengan taqwa sahajalah yang boleh menjamin kebahagiaan dan kemenangan manusia di dunia dan juga di akhirat

0 komen:

Islam Agamaku

INFO TERKINI

1Malaysia Onlive Tv

Download Lagu MP3

Download Lagu² Pilihan Anda Disini
Powered By 4shread | Serdahana Itu Indah

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites