29 November 2009

Ulul Albab: Seru manusia kembali kepada Islam


LAUTAN manusia berwukuf di Arafah menyahut seruan mengerjakan ibadat haji, Rukun Islam kelima.


Ibadat haji masa sesuai untuk meyakinkan setiap insan adalah umat Muslim

JIKA kewajipan rukun Islam seperti solat, zakat dan puasa Ramadan diserukan dalam ayat al-Quran kepada orang beriman, maka bukan begitu halnya dengan kewajipan menunaikan ibadat haji. Dalam kewajipan melaksanakan ibadat haji, al-Quran menggunakan lafaz 'al-nas' (manusia) dalam seruannya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk." (Surah Ali 'Imran: 97)

Jika kewajipan rukun Islam seperti solat, zakat dan puasa Ramadan tidak disenaraikan namanya dalam urutan nama al-Quran, maka bukan begitu halnya dengan ibadat haji. Al-Quran mengkhususkan satu nama surahnya dengan nama Surah al-Hajj, Surah ke-22 pada Juzuk ke-17 dengan ayatnya berjumlah 78 ayat dan diturunkan di Madinah. Di dalam surah ini seruan kewajipan ibadat haji juga menggunakan lafaz 'al-nas' (manusia). Firman Allah bermaksud: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)mu dengan berjalan kaki, dan menunggang berjenis unta yang kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh." (Surah al-Hajj: 27)

Demi menyambut seruan global ini, Baginda Rasulullah SAW pun menggunakan lafaz al-nas' (manusia) dalam ucapan perpisahannya ketika melaksanakan ibadat Haji Widak pada 9 Zulhijjah 10 Hijrah di Lembah Urainah, Padang Arafah. Rasulullah tidak menggunakan wahai umat Islam atau wahai orang beriman, yang ada baginda menggunakan seruan 'wahai manusia'. Sabda baginda bermaksud: "Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, seperti kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang membabitkan riba dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara besar, malah berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara kecil.

Wahai manusia, seperti kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat daripada harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia daripada yang lainnya kecuali dalam takwa dan beramal saleh.

Ingatlah, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang sudah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-sekali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada mereka yang terus mendengar daripadaku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya sudah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba- hambamu."
Subhanallah! Betapa indahnya ucapan perpisahan daripada seorang pemimpin yang dikasihi makhluk seluruh alam. Ucapan yang berisi ajaran nilai kebaikan global yang disampaikan oleh utusan terakhir Allah kepada umat manusia. Ucapan universal yang disampaikan oleh pemimpin agung manusia sepanjang sejarah.

Islam adalah satu-satunya agama di sisi Allah seperti ditegaskan al-Quran dalam Surah Ali Imran ayat 19 bermaksud: "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam." Hakikat ini juga dapat dimengerti daripada ayat al-Quran yang bermaksud: "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." (Surah al-Maidah: 3) Bukankah Rasulullah diutus untuk semua makhluk? Allah berfirman bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui hakikat itu." (Surah Saba': 28)

Amat benar firman Allah di atas, 'akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui hakikat itu' kerana daripada penduduk dunia yang berjumlah hampir 7.5 bilion hanya 1.5 bilion saja yang mengetahui hakikat bahawa Muhammad adalah Rasulullah SAW.

Inilah tugas penting dan tanggungjawab berat yang dipikul umat Islam untuk menjelaskan kepada seluruh manusia mengenai hakikat di atas. Hakikat bahawa semua manusia adalah Muslim kerana semua Nabi dan Rasul adalah seorang Muslim seperti diberitakan al-Quran. Kita akan membincangkan dalam kesempatan lain mengenai penemuan seorang bekas ahli Kongres Amerika Syarikat, Mark D Siljendar dalam buku yang baru diterbitkannya pada Oktober tahun lalu bertajuk A Deadly Misunderstanding. Dalam buku ini dibuktikan secara ilmiah Nabi Musa as dan Nabi Isa as adalah Muslim.

Mereka tidak pernah menyebut diri mereka beragama Yahudi atau Kristian. Perbincangan mengenai perkara ini disiarkan Aljazeera dalam slot From Washington 19 Oktober lalu. Acara yang sangat menarik.

Haji dengan puncak acaranya wukuf di Arafah dan Aidiladha adalah masa sesuai untuk menyeru umat manusia bahawa mereka sebenarnya adalah umat Muslim seperti yang diinginkan Allah SWT. Kita seru mereka untuk kembali ke pangkuan agama sebenar mereka iaitu agama Islam kerana ibadat haji adalah ibadat Nabi Ibrahim as, dan Nabi Ibrahim adalah bapa nabi, Abu al-Anbiya', yang membawa satu agama dan diwariskan kepada Nabi yang datang sesudah baginda. Wallahu alam.

0 komen:

Islam Agamaku

INFO TERKINI

1Malaysia Onlive Tv

Download Lagu MP3

Download Lagu² Pilihan Anda Disini
Powered By 4shread | Serdahana Itu Indah

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites