15 November 2009

Hukum syirik jampi bergantung kepada iktikad

Soalan:
Apakah pandangan Islam terhadap jampi? Sejauh manakah al-Quran dan hadis berperanan merawat penyakit. Adakah penggunaan jampi membawa kepada syirik.

Jawapan:
Jampi atau dalam bahasa Arab ruqyah merujuk bacaan tertentu untuk sesuatu tujuan, biasanya rawatan.

Ia terbahagi kepada dua jenis sama ada yang dibenar syarak atau yang dilarang. Bagi Muslim, tidak diragui kaedah rawatan bersumberkan al-Quran dan apa yang dianjurkan Nabi SAW suatu yang terbaik untuk menjadi penawar sempurna.

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat ke-82 bermaksud: "Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua."

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, ayat ini merujuk al-Quran yang secara keseluruhannya bertindak sebagai ubat penyembuh terhadap orang beriman.

Menurut Ibnul Qayyim dalam Zaadul Ma'ad, kajian ayat al-Quran menunjukkan kepada kita secara prinsipnya Islam mengajar tatacara kehidupan yang sihat dan jauh daripada penyakit. Ayat suci al-Quran secara dasarnya menganjurkan kepada penjagaan tiga perkara iaitu:

# Menjaga kesihatan.

# Memelihara diri daripada perkara yang memudaratkan kesihatan.

# Merawat diri daripada penyakit.

Demikian juga pengubatan dengan ruqya syar'iyyah (jampi disyariatkan) yang berpandukan kepada hadis sahih yang diamalkan Nabi SAW ialah ubat yang mujarab. Apabila ayat dan doa yang diajarkan Nabi SAW menepati adab dan syarat yang ditunjukkan Islam, ia memberikan kesan maksimum. Nabi SAW bersabda dalam hadis sahih maksudnya: "Tiada yang dapat mencegah takdir kecuali doa dan tiada yang dapat memberikan tambahan pada umur melainkan kebaikan." (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Namun, kita harus memahami apa juga yang diamalkan sama ada bacaan ayat al-Quran, zikir atau doa tidak memberi kesan yang diharapkan jika ada kesilapan pada salah satu pihak.

Dalam perkataan lain, keberkesanan hanya berlaku apabila kedua-dua pihak iaitu orang yang merawat dan pesakit memenuhi syarat iaitu kekuatan diri dan keteguhan iman kepada Allah SWT.

Dia juga mesti mempunyai keyakinan penuh terhadap kedudukan al-Quran sebagai penyembuh dan rahmat bagi orang beriman.

Seterusnya seseorang yang inginkan tindak balas cepat mesti menjadikan al-Quran amalan.

Apabila kerap membaca al-Quran, kesannya berlaku dalam masa yang singkat. Benarlah perumpamaan yang dikemukakan Ibnul Jawzi dalam Talbis Iblis bahawa seseorang yang sentiasa beriltizam dengan al-Quran, maka al-Quran akan berkesan dalam menangani masalahnya seperti pemburu yang rajin berlatih menggunakan senjata. Senjata yang membantunya mempertahankan diri, demikian halnya al-Quran yang saban hari dibaca memberikan ketahanan daripada gangguan musuh.

Ibnu Tien pula memberikan penambahan dengan menjelaskan jika al-Quran dibacakan orang salih, izin Allah SWT untuk kesembuhan akan berlaku. Ibn Hajar dalam Fathul Bari menyatakan bahawa ulama sepakat membenarkan ruqyah ataupun jampi jika ia memenuhi syarat berikut:

# Jampi yang menggunakan firman Allah atau nama-Nya ataupun hadis Nabi SAW.

# Ia perlu diungkapkan dengan bahasa yang difahami.

# Hendaklah diyakini dengan sepenuhnya bahawa Allah SWT yang memberikan kesembuhan, bukan jampi itu.

Jadi berpandukan syarat ini, tertolaklah jampi mantera yang dibacakan bomoh atau dukun serta pawang jika beliau menggunakan rangkap ayat yang kurang jelas ataupun menjurus kepada perkara syirik yang ditegah Islam.

Berkaitan dengan soalan anda, jelas kepada kita perbuatan menjampi itu membawa kepada syirik atau tidak adalah bergantung kepada iktikad orang yang mengucapkannya.

Ini disebabkan syirik bermaksud sesuatu yang dilakukan yang membawa menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu.

Apabila seseorang itu mengucapkan sesuatu dengan keyakinan dalam hatinya sesuatu itu mampu memberikan manfaat ataupun mudarat, maknanya dia sudah melakukan sesuatu perbuatan syirik kepada Allah SWT.

0 komen:

Islam Agamaku

INFO TERKINI

1Malaysia Onlive Tv

Download Lagu MP3

Download Lagu² Pilihan Anda Disini
Powered By 4shread | Serdahana Itu Indah

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites